Tempahan-tempahan Satay E'idil Fitri 1432H


Rasanya masih tak terlambat untuk saya mengucapkan Eid Mubarak, Taqabbalallahu Minna wa Minkum. Mudah-mudahan tarbiyyah Ramadhan yang lalu, dapat mengekalkan momentum kita dalam mengejar redha ALLAH SWT, yang sememangnya diperlukan untuk menjadi hambaNYA yang soleh, seterusnya dijanjikan tempat tinggal yang baik di akhirat sana. InsyaALLAH.

Seperti biasa, di bulan Syawal sebegini kami menerima banyak tempahan yang tak putus-putus pada setiap hari. Kami amat berterima kasih sekiranya tempahan dapat dibuat 3 hari lebih awal untuk tempahan yang tidak melebihi 500 cucuk, dan bagi tempahan yang melebihi jumlah itu, seminggu lebih awal. Apapun, sekiranya pelanggan terpaksa juga menempah di saat-saat akhir, masih boleh menghubungi kami, dan kami cuba membantu sekiranya termampu. Untuk penghantaran, buat masa ini kawasan penghantaran adalah terhad sehingga kawasan Kelana Jaya sahaja. Apapun untuk tempahan yang melebihi 1000 cucuk ke atas, kita masih boleh berbincang. Maximum caj penghantaran dan pembungkusan adalah RM15 sahaja. Untuk senarai harga, sila rujuk senarai harga yang saya letakkan di sebelah kanan blog ini.

Terima kasih atas kunjungan anda ke blog yang tak seberapa ini. Inilah penyelesaian terakhir saya, selepas blog-blog wordpress saya mengalami serangan spam dan malware yang teruk, dan tak mampu saya nak membaikinya lagi. Semoga rakan-rakan pembaca tak jemu-jemu melawat kami di sini :) Ilal Liqa

Ramadhan Kareem

Kredit imej: http://wallpapersku.blogspot.com/2011/07/islamic-wallpapers-ramadan-kareem.html


Ramadhan Kareem. Mudah-mudahan kedatangannya menjadikan kita seorang Muslim yang lebih baik, InsyaALLAH. Di bulan yang mulia ini, pihak kami meneruskan aktiviti penjualan satay di bazar Ramadhan yang terletak di Lorong Musran, Rantau Panjang, Klang. Di sebelah malam pula InsyaALLAH Cafe SatayDIY akan dibuka selepas solat tarawikh, dijangka pada 9.30 malam sehingga jam 11.00 malam . Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang terbaik sepanjang kita hidup di muka bumi ini. Ramadhan Kareem :)

Auto Draft

Gambar-gambar di sekitar Rumah Terbuka Ei’dil Fitri Dato’ Rahman Palil-ADUN Sementa

Salaamimg

Sekadar perkongsian yang cepat. Sila lihat gambar-gambar yang dilampirkan ya :)



Bertempat di Dewan Dato' Ahmad Razali, Batu 4, Jalan Kapar, Klang


Memang ramai yang datang :)



Mata masing-masing tertumpu ke arah satay-satay yang bakal diagihkan



Full dapur tu



Bila nak sampai turn kami ni? Tak dapat pinggan, cawan pun jadilah :D

Gambar-gambar di sekitar Pasar Ramadhan - 22 Ogos 2009

Salaamimg


Kali ini saya sekadar nak berkongsi gambar-gambar yang sempat saya ambil petang tadi. Maaf gambar tak berapa cantik :) Saya baru-baru belajar dengan kamera prosumer yang baru saya beli 2nd hand semalam.











Untuk hari pertama, kehadiran pengunjung tidaklah begitu ramai. Saya menjangkakan, faktor hari Sabtu, ditambah pula dengan cuti sekolah yang telah bermula, menyebabkan tidak begitu ramai mengunjungi Pasar Ramadhan  untuk mencari juadah berbuka puasa. Sekiranya jangkaan ini tepat, saya menjangkakan pada hari Isnin nanti, kehadiran akan menjadi lebih baik.

Ramadhan Kareem

Salaamimg


Kepada para pembaca & pemerhati blog ini, saya mengucapkan Salam Ramadhan kepada semua. Mudah-mudahan dengan Ramadhan pada kali ini, menjadi titik tolak kepada permulaan yang baru dalam hidup kita. Permulaan yang baik, dari yang kurang baik sebelumnya. Jika sebelum ini kita merasa berat untuk melakukan ibadah-ibadah sunat, jadikan ia "ringan" pada kali Ramadhan ini, dan mudah-mudahan pula ia berpanjangan ke bulan-bulan yang lain pula. Jika sebelum ini masjid-masjid dan surau-surau terasa jauh, jadikan ia begitu dekat pada kali ini...dan banyak lagi amalan-amalan baik yang seringkali kita niatkan untuk melakukannya, tetapi akhirnya semangat berkobar-kobar itu hilang begitu sahaja.

InsyaALLAH, di pihak SatayDIY pula, Ramadhan ini di samping berpeluang mengubah diri, ia juga peluang untuk menambah pendapatan. Kami akan berniaga di Pasar Ramadhan yang telah bertahun-tahun kami sertai, dengan hasil yang Alhamdulillah tidak menghampakan. Mudah-mudahan Ramadhan pada kali ini juga begitu, atau lebih baik lagi. InsyaALLAH, kami akan mengemaskini perkembangan-perkembangan semasa kami, sepanjang bulan Ramadhan ini, dan bulan-bulan yang berikutnya. Menyentuh sedikit tentang perjalanan SatayDIY di masa hadapan, InsyaALLAH, sebuah syarikat akan ditubuhkan untuk melancarkan lagi perjalanan kami, dan buat menjadi pemangkin untuk kami terlibat dengan peluang-peluang yang besar, yang hanya boleh dinikmati oleh entiti yang berstatus syarikat. InsyaALLAH, pada post yang akan datang, saya akan memperincikannya sedikit. Nantikannya ya  :)

100,000 Cucuk Satay?

Salaamimg


Apa khabar para pembaca sekelian? Mudah-mudahan dalam perlindungan ALLAH hendaknya. Saya Alhamdulillah, masih sihat dan ceria seperti biasa. Cuma, sedikit terbeban dengan kerja-kerja pejabat yang semakin membukit. Mengetuai satu jabatan tidaklah semudah semasa saya menjadi eksekutif dahulu. Kini saya perlu terlibat di dalam proses decision-making yang melibatkan perjalanan syarikat. Juga memerlukan sedikit elemen eksperimen apabila feasibility study tidak dapat dilakukan.

Agaknya, apa perasaan anda sekiranya mendapat permintaan satay sepertimana tajuk di atas? Teruja atau gusar? Untuk saya, ia adalah kombinasi di antara 2 perasaan tersebut. Mungkin komposisinya seimbang, 50% teruja, dan selebihnya gusar. Teruja memandangkan jumlah tersebut adalah besar jika hendak dibandingkan dengan setup yang kami ada sekarang. Gusar kerana takut-takut permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi. Apapun, pengalaman kami yang lepas-lepas, tekanan bukanlah sesuatu yang luar biasa. Malah ada ketikanya sentiasa dihambat tekanan demi tekanan, demi memenuhi tempahan-tempahan yang telah dibuat. Cuma pada kali ini, angka 100,00 ribu itu memang besar, dan bakal menjadi penanda aras baru, andai insyaALLAH rancangan tersebut menjadi.

Untuk angka sebesar itu, pihak SatayDIY masih di dalam peringkat perbincangan dengan pembeli. InsyaALLAH, saya akan update perkembangan-perkembangannya di blog ini dari semasa ke semasa. Ada  pesanan yang anda ingin sampaikan? Ada boleh berbuat demikian di ruangan komen di bawah ini.

Doakan kami :)

Anda Inginkan Bekalan Satay Mentah Frozen?

Salaamimg


Apa khabar para pembaca sekelian? Mudah-mudahan sentiasa sihat wal afiat di dalam perlindungan Rabbul A'lamin. Kami di SatayDIY.com Alhamdulillah, semuanya masih sihat wal afiat untuk meneruskan kehidupan di muka bumi ini sebagai hambaNYA. Mudah-mudahan kita sentiasa diberi panduan and petunjuk olehNYA. Pada kali ini, saya sekadar hendak berkongsi dengan para pembaca kami tentang produk yang sebenarnya telah lama kami hasilkan, tetapi tidak diuar-uarkan secara online. Produk yang kami maksudkan ialah Satay Mentah Frozen kami.

Produk ini kami hasilkan atas permintaan para reseller kami di mana mereka mementingkan kaedah penyimpanan yang efektif. Satay-satay yang siap dihasilkan akan di pek secara "vacuum packing" untuk menjamin ketahanannya. Rasanya juga lebih sedap, memandangkan cara pembungkusan yang sedemikian menyebabkan proses "marinade" atau pemerapan berlaku dengan lebih lama. In juga tampak lebih menarik, dan paling penting, lebih mudah untuk para "end user" kami mengendalikannya. Produk ini merupakan satu daripada produk terbaik kami sepanjang menjadi peniaga satay sejak sekian lama.

Harga? Ya, kami tidak menaikkan harga kami walaupun kaedah pembungkusan moden telah dilaksanakan. Untuk satay mentah tersebut, harganya ialah RM0.40 untuk setiap cucuk,  dan harga tersebut adalah lebih murah untuk para peniaga dan pembeli yang membeli pada skala besar. Untuk setiap 100 cucuk, 1kg kuah SatayDIY yang istimewa akan dibekalkan, juga dalam bentuk "frozen".

Anda berminat? Sila hubungi kami pada bila-bila masa di talian 019-3680495 (Razak Hussin) atau 019-3799160 (Azrul Razak). Tempahan untuk Hari Raya juga dibuka mulai sekarang.

SatayDIY yang semakin sibuk

Salaamimg


Apa khabar? Mudah-mudahan para pembaa berada dalam keadaan sihat wal afiat. Kami di sini Alhamdulillah, baik adanya. Namun begitu, dari segi masa, kami benar-benar "diasak" :) Apapun, kami masih mampu tersenyum memandangkan, asakan sedemikian rupa merupakan suatu tanda yang SatayDIY semakin mendapat permintaan, Alhamdulillah. Walaupun penat bekerja siang ke malam, malah adakalanya ke dinihari, kepuasannya tetap dirasai :) syukur ke hadrat Illahi.


Buat masa ini, kami mendapat tempahan purata kira-kira 4,000 ke 5,000 cucuk satay seminggu, yang berbeza saiz atas permintaan pelanggan kami. Bagi menjaga kualitinya, salah satu pelanggan kami telah memperkenalkan kami kepada teknologi "vacuum packing". Bukan itu sahaja, malah pelanggan kami meminjamkan "vacuum packer" mereka untuk kami bereksperimen. Alhamdulillah, hasilnya sangat baik...dan kami sudah mula berfikir utuk berkolabrasi dengan pelanggan kami tersebut untuk mengeksport satay kami ini ke negara-negara luar.


InsyaALLAH, kami akan update lagi di masa yang lain, dan mungkin juga saya akan masukkan gambar-gambar i=untuk pandangan yang lebih jelas. Jumpa lagi :) mach zehnder modulator


Kelahiran cahaya mata ketiga

Salaamimg


Pada 7 Februari 2009, bersamaan 11 Safar 1430Hijriah, jam 12.50 tengahari, Muhd Umar Abdul Aziz selamat dilahirkan ke dunia ini. Mudah-mudahan, Muhd Umar akan menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Mudah-mudahan, baik akhlaknya, kental semangatnya, dan luhur pula budinya. Hari kelahirannya, yang sama dengan tarih lahir umminya menjadikan detik tersebut lebih istimewa. Buat para puteriku, Fatimah Az-Zahrah dan Sumayyah, jaga 'baby' Umar baik-baik ya, dan jangan buli dia :)


muhd-umar.jpg

Apa yang terbaru dari kami?

Salaamimg



Apa khabar semua? Mudah-mudahan bertambah iman dan bertambah kesihatan. Kami di sini sihat wal afiat, dan tetap meneruskan kehidupan yang serba mencabar in seperti biasa. Untuk pengetahuan para pembaca, kami kini mempunyai beberapa lagi outlet yang beroperasi secara kedai dan gerai. InsyaALLAH, di post yang akan datang, saya akan mengemaskinikan semuanya. Nantikannya ya :)

Sedikit Update di Pagi 19 Syawal/Oktober 1429H/2008

Salaamimg


Mudah-mudahan rakan-rakan yang diberkati berada dalam keadaan sihat wal afiat di samping keluarga ya :) Saya sekadar ingin berkongsi beberapa keping gambar yang sempat saya ambil pagi ini. Untuk makluman semua, boleh dikatakan sepanjang Syawal ini, ini adalah antara rutin harian kami pada setiap hari ;)





Krisis Ekonomi di USA: Ingin Berkongsi Maklumat

Salaamimg


Apa khabar rakan-rakan sekelian? Mudah-mudahan sihat wal afiat adanya. Saya Alhamdulillah, cuma anak sulung saya mengalami kecederaan pada mulutnya akibat terlalu "buas". Dia terjatuh,dan mulutnya terkena kerusi. Banyak juga koyaknya. InsyaALLAH, sakitnya sudah kebah. Cuma, kesan fizikalnya masih ada. Saya tak pasti samada ia akan hilang, atau kekal apabila dibiarkan. Jika tiada aral, esok saya akan membawanya ke Klinik Kanak-kanak untuk pemeriksaan lanjut. Yang pasti, "buasnya" tak pernah hilang :)


Tentu rakan-rakan mendengar banyak laporan tentang krisis kewangan yang melanda USA sekarang ini bukan? Malah, ia telah menular ke Britain, dan beberapa bank utama telah pun dibeli oleh kerajaan. Terdahulu, beberapa gergasi kewangan "riba" USA juga telah tersungkur, dek kerakusan sistem ekonomi kapitalis itu sendiri. Untuk memahami isu ini dengan lebih lanjut, saya mencadangkan agar rakan-rakan dapat merujuk kepada penulisan Ustaz Zaharuddin Abd Rahman di link berikut:


http://www.zaharuddin.net//index.php?option=com_content&task=view&id=759&Itemid=95


Mudah-mudahan bermanfaat buat rakan-rakan sekelian.

Update Tempahan Syawal 1429 Hijriah

Salaamimg


 


Saya mencuri sedikit masa dari kesibukan kerja untuk menulis blog ini :) Apapun, saya cuma nak update tempahan-tempahan yang telah kami terima di musim perayaan ini.


 


1) Rumah Terbuka Dato' Sanad di Batu Belah, Klang, 11 Syawal 1429 - Batu Belah, Klang - 7,000 cucuk satay


2) Kak Norhayati - kawan lama di talian :) - Bandar Baru Bangi, 12 Syawal 1429 - 1,000 cucuk satay (mentah)


3) Rumah Terbuka Dato' Rahman Palil, Klang, 13 Syawal 1429 (malam) - 5,000 cucuk satay


 


Setakat ini dahulu. InsyaALLAH, saya akan update lagi dari masa ke semasa. Sebenarnya banyak lagi tempahan yang diterima. Namun kebanyakannya masih belum dapat confirm jumlah satay yang dikehendaki. InsyaALLAH, nantikan update seterusnya ya :)


 


 


 


 

Azrul kembali! Dengan Perkembangan Terbaru SatayDIY.com

Salaamimg


 


Apa khabar rakan-rakan sekelian? Mudah-mudahan bertambah sihat wal afiatlah hendaknya. Kami di sini Alhamdulillah, masih sihat, dan masih lagi berjuang untuk memartabatkan diri di sisi yang Maha Esa, dan di sisi masyarakat untuk meneruskan kehidupan yang sementara ini. Tentu ada di kalangan rakan-rakan yang tertanya-tanya ke mana menghilangnya saya memandangakn blog ini tidak diupdate buat sekian lama...maafkan saya di atas perkara ini. Kesibukan kerja yang melanda menyebabkan fokus saya terhadap blog ini sedikit terjejas. Namun begitu, kerja-kerja untuk memajukan lagi SatayDIY tetap diteruskan walaupun sibuk dengan kerjaya saya. Berikut saya senaraikan perkembangan terbaru kami:


 


1) SatayDIY.com telah bertapak di Brunei! :-)


Alhamdulillah, kami telah menjejakkan kaki di sana melalui kenalan kami, En Azani yang tidak jemu-jemu menghubungi kami dan berusaha untuk memastikan SatayDIY.com bertapak di sana. InsyaALLAH, andai tiada aral melintang, beliau akan kembali ke Malaysia untuk sesi perbincangan demi memajukan lagi SatayDIY.com ini di sana, dan jua di tanah air ini sendiri.


 


2) SatayDIY.com kini bertaraf "supplier"


Ya, kami kini tidak lagi menjual sendiri. Sebaliknya lebih banyak membekalkan satay mentah kepada peniaga-peniaga satay di sekitar Lembah Klang. Kepada para peniaga di luar Lembah Klang yang berminat untuk mendapatkan satay kami, telefon bimbit kami sentiasa "on" 24 jam menerima sms-sms dan panggilan-panggilan untuk berbincang kaedah penghantaran/pembungkusan yang sesuai. No hp kami: Azrul 019-3799160, Razak Hussin 019-3680495


 


3) Azrul akan berhijrah kembali ke Klang :)


Ya, saya akan kembali ke Klang, ke tempat di mana saya dilahirkan, ke tempat di mana SatayDIY.com beroperasi. Saya berharap agar kepulangan ini dapat memperkasakan lagi perniagaan kami, dan impian untuk melihat SatayDIY.com berjaya memainkan peranannya menjadi kenyataan. Doakan ya :)


 


4) SatayDIY.com sedang sibuk dengan tempahan Hari Raya 


Hari Raya ialah di antara hari-hari tersibuk buat warga SatayDIY.com. Pada bulan Ramadhan yang lalu, jualan kami menjangkau sebanyak 23,000 cucuk, atau bernilai RM11,500. Kami menjangkakan jumlah itu akan meningkat pada bulan Syawal ini di mana banyak rumah-rumah terbuka akan di adakan. Kami telah bersedia untuk itu :)


 


Nampaknya setakat ini dahulu update terbaru dari kami. InsyaALLAH, dari masa ke masa, kami akan memastikan blog ini sentiasa dikemaskinikan buat tatapan rakan-rakan semua. Sebelum itu, rasanya tidak terlewat untuk kami mengucapkan, SELAMAT HARI RAYA E'IDUL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN


 

Blog Kami Berpindah Platform

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera rakan-rakan sekelian.

Apa khabar? Mudah-mudahan sentiasa di dalam keadaan sihat dan sejahtera, di samping mendapat perlindungan ALLAH SWT. InsyaALLAH, kami juga berkeadaan baik dan sejahtera, buat meneruskan perjuangan hidup yang sentiasa tidak berkesudahan.

Ini adalah post pertama saya menggunakan platform yang baru, iaitu wordpress.com. Sebenarnya, sebagai admin, saya mengalami sedikit masalah teknikal dengan blog lama yang di hoskan di sataydiy.com sendiri, di mana Google telah menganggpnya sebagai harmful website. Memang saya perasan, setiap kali membuka blog tersebut, pc saya akan menjadi "lagging" dan penggunaan RAM akan meningkat. Mungkin benar, blog tersebut memberatkan pc anda, tanpa saya tahu apakah puncanya. Mungkin berpunca dari komen spam yang tidak diundang sehingga berjumlah ratusan, malah ribuan banyaknya. Untuk tidak bersusah-payah, saya membuat keputusan untuk memindahkannya ke wordpress.com terlebih dahulu, sementara saya mendapat "kuasa" kembali ke atas blog tersebut. Apapun, di wordpress.com ini, saya lebih relax tanpa perlu memikirkan masalah teknikal web kami.

Apapun, terima kasih kerana masih sudi melawat kami di sini. InsyaALLAH, blog ini akan lebih kerap di update untuk berkongsi dengan rakan-rakan tentang perkembangan terkini kami.

Logo Baru SatayDIY.com

Salaamimg


Diam tak diam, kita sebenarnya dah menghampiri tahun baru 2008. Persoalan sama ada azam tahun lalu dah tercapai atau belum, kerap kali di bangkitkan, bahkan soalan tersebut menjadi automatik setiap kali tahun baru bakal menjelma. Apapun, kita mesti memandang ke hadapan, dan kalau perlu melihat ke belakang pun, hanyalah untuk tujuan "compare and analysis", buat panduan kita merangka pelan hadapan yang lebih bermakna dan betul, InsyaALLAH.

Bagi pihak SatayDIY.com, tahun 2007 merupakan tahun peningkatan di mana usaha kami memulakan perniagaan "0n-line" ini mula menampakkan hasil. Alhamdulillah, semakin ramai yang menyedari kemunculan SatayDIY.com, malah tempahan-tempahan satay yang diterima dari pelanggan on-line juga semakin meningkat. Untuk itu, selaras dengan perkembangan tersebut, kami cuba untuk mengkorporatkan imej kami dengan menampilkan logo baru seperti di bawah ini:

Image Hosting

Bagaimana pendapat anda dengan logo tersebut? Sebarang komen adalah amat dialu-alukan dengan cara meninggalkan komen anda di sini. InsyaALLAH, kami akan mengintegrasikan logo tersebut di website kami tidak lama lagi.

Percubaan Kami Positif

Salaamimg


Masih ingat tentang percubaan kami untuk mengetinkan produk SatayDIY? Anda boleh baca di sini untuk refreshment. Alhamdulillah, percubaan tersebut membuahkan hasil yang positif. Dari segi rasa, kami berjaya "mempertahankan" rasanya walaupun ia menjadi sedikit manis. Mungkin kami perlu memperbaiki atau mengubahsuai sedikit proses pengetinan tersebut. Untuk pengetahuan pembaca, kerja-kerja pengetinan ini dijalankan sepenuhnya oleh syarikat Pertima Trengganu Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat kerajaan negeri Terengganu yang berpengkalan di Chendering, Terengganu Darul Iman. Syarikat tersebut menghasilkan produk-produk dalam tin seperti sardin (berjenama Pertima) dan buah-buahan dalam tin.

InsyaALLAH, kami akan mengemaskinikan lagi perkembangan terkini projek kami dari semasa ke semasa di sini. Kepada sesiapa yang berminat untuk menghulur idea, buah fikir, melabur dengan kami, dan apa jua pertanyaan, sila berbuat demikian dengan mengisi borang di sini.

Perkembangan Positif SatayDIY.com di Bulan Syawal 1428

Salaamimg


Apa khabar? Mudah-mudahan rakan-rakan sekelian berada dalam keadaan sihat wal afiat. Saya Alhamdulillah, sihat jua adanya. Mudah-mudahan juga,kesihatan yang ALLAH kurniakan ini akan digunakan sebaik-baiknya, ke arah mendekatkan diri padaNYA dalam apa jua tindakan kita. Untuk kali ini, saya subjek di atas adalah agak terlewat memandangkan kita sudah pun menghampiri E'idul Adha. Apapun, anggaplah ia sebagai perkongsian maklumat yang diharapkan memberi manfaat kepada semua.


Alhamdulillah, pada bulan Syawal yang lepas, jumlah tempahan satay yang kami terima adalah mencecah 80,000 cucuk, satu angka yang kami anggap besar memandangkan "current setup" kami adalah berskala kecil. Rata-rata, tempahan-tempahan adalah tertumpu di sekitar Lembah Klang. Antara pelanggan-pelanggan kami adalah seperti berikut:


1) Kakitangan Polis di Bukit Aman


2) Karangkraf Sdn. Bhd.


3) Muzik FM


4) Kakitangan Imigresen


5) Kakitangan Kastam


6) Kakitangan UIA Gombak


7) Pelanggan-pelanggan perseorangan


Kami amat berharap agar pelanggan-pelanggan kami ini berpuas hati dengan perkhidmatan dan kualiti satay yang telah kami sajikan. Kepada sesiapa yang berminat nak membuat tempahan, kami amat mengalu-alukannya dengan cara SMS atau menelefon kami di 0193680495 (En Razak) atau 0193799160 (Azrul). InsyaALLAH, setakat ini dahulu buat kali ini. Jumpa lagi :-)


 

Satay Dalam Tin: Berbaloi?

Salaamimg


Pada kali ini saya memerlukan bantuan dari para pembaca untuk memberikan saya sedikit gambaran tentang keupayaan Produk Satay Dalam Tin untuk dipasarkan. InsyaALLAH sekiranya poll result adalah positif, saya akan memulakan langkah untuk menjalankan proses R & D dan langkah-langkah yang sepatutnya untuk menjelmakan produk tersebut. Saya dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih atas kerjasama pembaca sekelian.

























pollsApa Pendapat Anda Tentang Satay Dalam Tin?
Saya yakin ada sambutan
Susah nak berjaya
Tak pasti
Satay DIY